Makanan yang telah dimasak tetapi tidak terus dihidangkan atau dikekalkan panas perlu disejukkan dengan cepat sebelum disimpan dalam peti sejuk. Makanan seperti nasi, sup, kari dan lauk bersantan yang dibiarkan menyejuk terlalu lama boleh memberi peluang kepada bakteria berbahaya untuk membiak. Makanan yang telah dimasak tidak semestinya kekal selamat jika proses penyejukannya tidak dikawal.
Secara saintifik, spora bakteria seperti Bacillus cereus dan Clostridium perfringens boleh bertahan selepas proses memasak. Apabila suhu makanan menurun secara perlahan, spora tersebut boleh bercambah dan bakteria membiak. Sebagai panduan penyejukan dua peringkat, suhu makanan diturunkan daripada 57°C kepada 21°C dalam tempoh 2 jam, kemudian kepada 5°C atau lebih rendah dalam jumlah masa maksimum 6 jam.
Oleh itu, bahagikan makanan kepada bahagian kecil, gunakan bekas cetek atau kaedah rendaman air berais untuk mempercepat penyejukan. Elakkan membiarkan periuk besar berisi makanan panas pada suhu bilik sehingga sejuk sepenuhnya. Pantau suhu dan masa menggunakan termometer serta rekod penyejukan supaya makanan mencapai suhu penyimpanan yang selamat.
—————————
“Makanan yang dimasak dengan sempurna masih boleh menjadi berbahaya jika dibiarkan menyejuk terlalu lama. Keselamatan makanan tidak berakhir selepas memasak, tetapi mesti dijaga sehingga makanan disimpan dan dihidangkan.”
Pesanan Uncle Kuden
KUDEN ACADEMY
0 ulasan